Gurindam sering dijadikan contoh bagi memperkenalkan puisi klasik kepada para pelajar sekolah menengah. Selain bentuknya yang tersendiri, gurindam mengandungi maksud yang padat dan nilai-nilai murni yang sesuai diketengahkan kepada para pelajar. Menurut Za’aba, gurindam ialah ‘suatu jenis syair melarat yang tiada tetap sukatnya, atau rangkapnya, isinya mengandungi fikiran-fikiran yang bernas dengan bahasa yang riang dan suka sebagai nyanyian’.35 Berdasarkan penyelidikan pengkaji, hanya Gurindam 12 yang termuat dalam ketiga-ketiga pakej MOE yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu iaitu pakej Intisari Bahasa, pakej Pancaran Bahasa dan pakej Jendela Bahasa.
Gurindam 12 merupakan salah satu hasil puisi Raja Ali Haji yang terkenal selain Syair Abdul Muluk. Gurindam ini mengandungi nilai-nilai murni dan pengajaran yang boleh dijadikan panduan oleh manusia seperti perlunya pegangan agama yang kukuh, memelihara anggota badan dan hati, hidup bermasyarakat, menghormati orang tua, sikap muafakat, berbuat baik dan berjasa, berbudi bahasa dan berhemah tinggi. Sebagai contoh, cuba teliti rangkap dalam pasal kedua dan ketiga daripada Gurindam 12 ini.
Fasal kedua:
Apabila terpelihara mata,
Sedikit cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,
Khabar yang jahat tidaklah damping.
Bersungguh-sungguh engkau memeliharanya,
Tangan daripada segala berat ringan.
Apabila perut terlalu penuh,
Keluarlah fiil yang tiada senonoh.
Fasal ketiga:
Hati itu kerajaan di dalam tubuh,
Jikalau zalim segala anggota pun roboh.
Apabila dengki telah bernanah,
Datanglah daripadanya beberapa anak panah.
Mengumpat dan memuji hendaklah fikir,
Di situlah banyak orang yang tergelincir.
Pekerjaan marah jangan dibela,
Nanti hilang akal di kepala.
Jika sedikit pun berbuat bohong,
Boleh diumpamakan mulutnya pekong.
( Sumber: MOE 1986: 95 )
No comments:
Post a Comment