Friday, 6 May 2011

Gurindam

Gurindam sering dijadikan contoh bagi memperkenalkan puisi klasik kepada para pelajar sekolah menengah. Selain bentuknya yang tersendiri, gurindam mengandungi maksud yang padat dan nilai-nilai murni yang sesuai diketengahkan kepada para pelajar. Menurut Za’aba, gurindam ialah ‘suatu jenis syair melarat yang tiada tetap sukatnya, atau rangkapnya, isinya mengandungi fikiran-fikiran yang bernas dengan bahasa yang riang dan suka sebagai nyanyian’.35 Berdasarkan penyelidikan pengkaji, hanya Gurindam 12 yang termuat dalam ketiga-ketiga pakej MOE yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu iaitu pakej Intisari Bahasa, pakej Pancaran Bahasa dan pakej Jendela Bahasa.


Gurindam 12 merupakan salah satu hasil puisi Raja Ali Haji yang terkenal selain Syair Abdul Muluk. Gurindam ini mengandungi nilai-nilai murni dan pengajaran yang boleh dijadikan panduan oleh manusia seperti perlunya pegangan agama yang kukuh, memelihara anggota badan dan hati, hidup bermasyarakat, menghormati orang tua, sikap muafakat, berbuat baik dan berjasa, berbudi bahasa dan berhemah tinggi. Sebagai contoh, cuba teliti rangkap dalam pasal kedua dan ketiga daripada Gurindam 12 ini.

Fasal kedua:

Apabila terpelihara mata,
Sedikit cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,
Khabar yang jahat tidaklah damping.
Bersungguh-sungguh engkau memeliharanya,
Tangan daripada segala berat ringan.

Apabila perut terlalu penuh,
Keluarlah fiil yang tiada senonoh.

Fasal ketiga:

Hati itu kerajaan di dalam tubuh,
Jikalau zalim segala anggota pun roboh.
Apabila dengki telah bernanah,
Datanglah daripadanya beberapa anak panah.
Mengumpat dan memuji hendaklah fikir,
Di situlah banyak orang yang tergelincir.
Pekerjaan marah jangan dibela,
Nanti hilang akal di kepala.
Jika sedikit pun berbuat bohong,
Boleh diumpamakan mulutnya pekong.

( Sumber: MOE 1986: 95 )

Thursday, 5 May 2011

Fungsi Kesusasteraan

Karya-karya kesusasteraan dihasilkan oleh pengarangnya bertujuan untuk dinikmati dan dihayati oleh khalayak. Khalayak adalah masyarakat yang menggunakan hasil-hasil kesusasteraan tersebut yang berhubungan langsung dengan pengarang. Bagi seseorang pengarang, amat perlu baginya untuk mengetahui jenis karya yang diperlukan oleh khalayak kerana pengetahuan pengarang akan menentukan apa yang dihasilkannya itu diterima atau tidak oleh khalayak. Dengan kata lain, pengetahuan pengarang itu merangkumi tujuan-tujuan khalayak menikmati dan menghayati karyanya dan sejauhmanakah karya itu memberikan fungsi yang tertentu kepada khalayak.

Sarjana kesusasteraan menyimpulkan bahawa sekurang-kurangnya
kesusasteraan mempunyai dua fungsi yang jelas:
1. Pendidikan/Pengajaran/Didaktik
2. Kepuasan estetik.

Kesusasteraan Berfungsi Sebagai Alat Pendidikan
Memang tidak dapat dinafikan bahawa karya-karya kesusasteraan sebenarnya sarat dengan unsur pendidikan/pengajaran/didaktik. Pengarang-pengarang yang menghasilkan sesuatu karya sastera merupakan sekumpulan manusia yang telah menimba banyak pengalaman. Pengalaman-pengalaman para pengarang ini diterjemahkan melalui kisah-kisah yang ditulis oleh mereka yang terangkum didalamnya pelbagai bidang ilmu seperti ekonomi, politik, sosiologi dan agama. Pengalaman mereka ini dijadikan prosa atau puisi dan diadun dengan unsur-unsur pengajaran,moral atau ilmu pengetahuan yang tinggi nilainya. Apabila khalayak menikmati karya-karya mereka secara tidak langsung unsur pengajaran atau ilmu pengetahuan itu diserap oeh pembaca dan boleh membentuk personaliti pembaca ke arah kebaikan.

Kesusasteraan Berfungsi Memberi Kepuasan Estetik.
Apakah itu kepuasan estetik? Sebelum pergi lebih jauh, ada baiknya dicari dahulu maksud dan asal kata estetik. Dalam bahas Melayu estetik juga disebut estetika. Ia diambil dari kata Inggeris "aesthetic". Orang Inggeris juga sebenarnya meminjam perkataan tersebut daripada budaya Greekaisthanesthai yang boleh diertikan sebagai to preceive. Bernard Bosanquet menyatakan bahawa estetik adalah falsafah keindahan yang sudah bermula sejak zaman Greek, yang dimulai oleh Socrates. 


Di dalam ensiklopedia internet Wikipedia mengatakan estetik merupakan kajian deria atau nilai deria - emosi
, ataupun timbangan sentimen dan cita rasa. Estetik merupakan subdisiplin aksiologi, sesuatu cabang falsafah dan sering dikaitkan dengan falsafah seni.

Hashim Awang mendefinisikan estetik dalam Glosari Mini Kesusasteraansebagai "Kajian atau sains tentang keindahan dalam sastera atau seni lainnya.

Dengan maksud ringkas di atas, dapat dibuat kesimpulan bahawa kepuasan estetik adalah satu bentuk perasaan indah yang muncul sama ada dalam diri penulis ataupun pembaca. Penulis cerita akan merasa tenteram dan damai apabila mampu menghasilkan sesuatu cerita yang dapat menyentuh perasaannya dan juga pembaca dari segi isi ceritanya mahupun aspek-aspek lain penulisannya. Bagi pembaca pula, dengan membaca karya yang mempamerkan keindahan akan merasa satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan dalam dirinya.

Puisi Melayu

 Puisi ialah suatu bentuk tulisan atau pengucapan yang berirama yang dilahirkan melalui tanggapan yang penuh imaginatif daripada seseorang penulis atau penyair. Terdapat dua golongan puisi melayu iaitu Puisi Tradisional yang terdiri daripada Pantun dan Syair. Sajak pula dari golongan Puisi Moden.

Pantun


            Pantun merupakan sejenis puisi tradisional yang dianggap paling popular.antara ciri-ciri pantun ialah :

1.      Serangkap pantun atau seuntai pantun terdiri daripada dua bahagian.
2.      Dua kerat pertama, yakni baris pertama dan kedua disebut pembayang maksud atau sampiran.
3.      Dua kerat yang akhir, yakni baris ketiga dan keempat merupakan maksud pantun.
4.      Bahagian sampiran biasanya berisi ibarat atau misalan yang membayangkan apa-apa yang dikemukakan dalam bahagian maksud pantun.
5.      Bahagian maksud pula mengandungi isi sebenar yang hendak disampaikan.
6.      Bunyi suku kata hujung pantun mesti sama
7.      Persamaan bunyi atau rima pada suku kata di hujung baris pertama dipadankan dengan suku kata di hujung baris ketiga.
8.      Persamaan bunyi atau rima pada suku kata di hujung baris kedua pula dipadankan dengan suku kata di hujung baris keempat.
9.      Hal yang demikian membentuk bunyi atau rima “ab ab”.
10.  Tiap-tiap baris dalam serangkap pantun yang baik harus mempunyai lapan hingga dua belas suku kata.

Pantun terdiri daripada bebarapa jenis yang dikenal menurut jumlah barisnya, misalnya ;

v     Pantun dua kerat
v     Pantun empat kerat
v     Pantun enam kerat
v     Pantun lapan kerat
v     Pantunsepuluh kerat pantun dua belas kerat

Walau bagaimanapun, jenis pantun yang masih popular sekarang ialah pantun dua kerat dan pantun empat kerat.
           
Contoh:
                                    Sudah gaharu, cendana pula,
                                    Sudah tahu bertanya pula.

                                    Pisang emas dibawa belayar,
                                    Masak sebiji di atas peti;
                                    Hutang emas boleh dibayar,
                                    Hutang budi dibawa mati.
            Selain daripada itu terdapat juga pantun empat kerat yang dikenali sebagai pantun berkait iaitu pantun yang terdiri daripada beberapa rangkap yang saling berkait antara satu sama lain. Misalnya baris kedua dan keempat pada rangkap yang terdahulu dulang pada baris pertama dan ketiga dalam rangkap yang berikutnya.

                                    Contoh:
                                                Tabur bayam di pangkal tebu,
                                                            Buang jerami berikat rotan;
                                                Laksana ayam kehilangan ibu,
                                                            Begitulah kami kehilangan tuan.
                                                Buang jerami berikat rotan,
                                                            Lurutkan minyak ke daun padi;
                                                Begitulah kami kehilangan tuan,
                                                            Yang banyak menabur budi.

Syair


            Syair terdiri daripada empat baris atau empat kerat seperti pantun juga. Tetapi bunyi rima di hujung barisnya adalah sama atau selari “aa aa”. Syair tidak mempunyai pembayang maksud sebaliknya syair biasanya mempunyai tema yang tertentu yang berkaitan dengan kias ibarat, sindiran, nasihat, pengajaran, agama dan sebagainya. Isi syair berkisar di sekitar sesuatu kisah sejarah, misalnya Syair Singapura Dimakan Api, Syair Sultan Mahmud. Rangkap-rangkap syair terbentuk secara berurutan antara satu sama lain, malah keempat-empat baris dalam serangkap syair adalah bersambung juga. Ianya sedemikian supaya sesuatu buah fikiran dan cerita dapat disampaikan sebagai sati wacana yang lengkap.

                        Contoh ;
                                                Ilmu itulah gemala sakti,
                                                Sinarnya cerah cahaya sejati,
                                                Asal puncanya lamun didapati,
                                                Sukar bercerai sehingga mati.

                                                            Ilmu alat sangat berguna,
                                                            Idaman orang yang bijaksana,
                                                      Haamparnya luas amat saujana,
                                                      Tepinya ajal sempadannya fana.
     
Terdapat enam jenis syair dalam Kesusasteraan Melayu yang didasarkan pada isinya iaitu ;

v     Syair keagamaan – Syair Perahu dan Syair Dagang
v     Syair kiasan – Syair Ikan Terbuk dan Syair Burung Pungguk
v     Syair panji – Syair Panji Semirang dan Syair Ken Tambuhan
v     Syair romantis – Syair Bidadari dan Syair Yatim Nestapa
v     Syair saduran – Syair Damar Wulan dan Syair Tajul Muluk
v     Syair sejarah – Syair Singapura Dimakan Api dan Syair Sultan Muhamad

Sajak


            Sajak ialah sejenis puisi moden yang bebas sifatnya. Ia tidak terikat pada sesuatu pola khusus, walaupun kadang kala mempunyai ciri rima dan irama. Sajak mementingkan keberkesanan pengucapan perasaan melalui pemilihan dan pemakaian kata-kata yang saling berhubungan. Seperti juga hasil prosa, sajak juga mempunyai tema yang merupakan inti atau terasnya. Tema ini umumnya didasarkan pada pengalaman penyairnya yang didapati daripada pengalaman langsungnya dengan alam dan kehidupan manusia. Bebrapa contoh tema termasuklah keadilan, keamanan, kebebasan, kemanusiaan, penindasan dan banyak lagi.
            Pada umumnya bahasa sesuatu puisi memperlihatkan kehalusan, kesempurnaan dan keindahan serta penyusunannya. Bahasa puisi agak ekonomis yang terbit daripada baris-baris yang ringkas dan penggunaan kata yang terbatas. Namun ia masih mampu mendukung makna yang diharsatkan. Ianya banyak memperlihatkan sifat konotasi, yakni mempunyai makna yang lebih daripada satu, lebih kaya dan lebih luas yang bertujuan membangkitkan emosi dan imaginasi pembaca.
            Suasana merupakan salah satu unsur dalam sajak yang dapat membantu memperkuatkan temanya. Ianya terbina daripada gambaran-gambaran yang disajikan melalui  penggunaan bahasanya. Simbol atau perlambangan digunakan untuk menyatakan sesuatu makna yang di luar daripada makna langsung kata-kata tersebut. Penggunaan kata seperti laut, ombak, bulan, gunung, mentari, fajar, senja merupakan nilai simbol yang menarik dalam puisi. Unsur imej atau citra merupakan kesan daripada gambaran yang timbul melalui penggunaan kata, ungkapan dan ayat dalam sajak.
            Unsur bunyi, yakni irama dan rima juga penting dalam melahirkan sajak yang indah dan menarik. Unsur bunyi yang menarik biasanya melalui pemilihan dan penggunaan kata-kata yang terpilih dan teratur.

Prosa Moden

Cerpen


            Cerpen atau cerita pendek dapat  didefinisikan sebagai kisah rekaan yang ringkas, panjangnya antara 500 hingga 15,000 patah kata. Cerpen mempunyai kesatuan yang dicapai, terutamanya melalui plot di samping banyak mempunyai unsur lain seperti tema, latar, watak, gaya dan sebagainya. Cerpen berbeza dengan novel, terutamanya dari segi cerita yang berpusat pada sesuatu watak yang menggambarkan satu siri aksi atau peristiwa yang terbatas. Cerpen mengemukakan cerita dalam latar tempat yang terhad, jangka waktu yang pendek dan pertalian ceritanya tidaklah kompleks.

Drama


            Drama dapat diertikan sebagai suatu kisah yang diceritakan dalam bentuk lakonan oleh para pelakon yang memegang peranan sebagai watak-watak dalam kisah tersebut. Aksi dan dialog penting dalam drama, baik sebagai isi mahupun sebagai cara persembahan. Drama cuba menggambarkan satu aspek kehidupan manusia dengan mengemukakan konflik melalui aksi dan dialog para watak. Lazimnya, skrip atau naskhah lakon drama memang dirancang untuk dipentaskan. Sesuatu drama dinikmati oleh penonton secara langsung dan tanpa henti pula. Itulah sebabnya sesuatu karya untuk drama tidak boleh terlalu panjang dan harus mempunyai tarikan yang kuat untuk memikat perhatian penonton.

Novel


            Ada pelbagai pengertian yang diberikan untuk novel. Namun secara umumnya novel bermaksud kisah rekaan yang panjang dalam bentuk prosa. Secara khususnya pula, novel merupakan suatu bentuk cereka yang mengisahkan peristiwa yang benar-benar berlaku atau yang imaginatif dengan penyertaan watak yang kesemuanya digarap menurut suatu pola tertentu. Novel berbezadaripada cerpen dari segi panjangnya dan penceritaannya tidak terbatas pada satu-satu watak. Selain itu, peristiwa-peristiwa dan latar yang terkandung dalam novel pun tidak terhad dengan mengambil jangka waktu yang panjang. Seterusnya pertalian cerita dalam novel lebih kompleks daripada cerpen.

Ciri Kesusasteraan Melayu Tradisional

Kesusasteraan Melayu Tradisional mempunyai ciri-ciri tersendiri yang terdiri daripada lima aspek yang diperturunkan di bawah ini:

  • Lisan


Ciri utama kesusasteraan Melayu tradisional adalah Lisan. Lisan dalam bahasa Arab maknanya lidah atau kata-kata. Oleh itu dapatlah dikatakan bahawa kesusasteraan Melayu tradisional itu disampaikan secara lisan ataupun mediumnya adalah kata-kata ataupun pertuturan. Pada zaman tradisional pastilah wujud manusia-manusia yang berbakat besar dalam bidang kesusasteraan, yang mampu menghasilkan karya-karya prosa ataupun puisi. Pastilah juga dalam zaman tradisional yang bermula dengan animisme itu, tidak ada buku, pen, kertas dan sebagainya yang digunakan oleh sasterawan moden hari ini untuk menzahirkan karya mereka. Maka hanya cara tradisional sahajalah yang digunakan oleh 'sasterawan-sasterawan' zaman itu iaitu mengungkapkan karya mereka dengan cara percakapan atau penceritaan. Para sasterawan zaman tradisional, oleh kerana tidak mempunyai alat tulis menurunkan pula karya-karya mereka kepada anak cucu, saudara dan sahabat handai secara lisan agar ciptaan mereka itu tidak hilang begitu sahaja.


  • Tulisan 


Apabila masyarakat Melayu mula menerima pengaruh Islam, mereka telah menerima juga bersama-sama sistem tulisan. Maka berlakulah satu perubahan besar dalam penghasilan karya kesusasteraan iaitu peralihan daripada lisan kepada tulisan. Satu perkara yang harus difahami dengan mendalam ialah kebolehan menulis lebih berpihak kepada golongan bangsawan yang berdekatan dengan pihak istana. Sedangkan golongan rakyat biasa masih kekal dengan kaedah lisan. Dengan itu lahirlah karya-karya kesusasteraan yang berpusatkan istana. Karya-karya kesusasteraan ini ditulis menggunakan tulisan jawi dan penciptaannya lebih kepada untuk memenuhi kehendak golongan istana.


  • Kreatif


Pada dasarnya karya kesusasteraan kreatif itu bermaksud karya-karya prosa dan puisi naratif dan non naratif. Oleh itu novel, cerpen, sajak, drama, prosa tradisional dan puisi tradisional merupakan kesusasteraan kreatif.


  • Bukan kreatif


Karya kesusasteraan bukan kreatif adalah karya-karya seperti esei, rencana dan sebagainya


  • Estetik


Estetik merujuk kepada keindahan hasil-hasil kesusasteraan yang dicipta oleh seseorang penulis.

Prosa Tradisional

Kesusasteraan Melayu Tradisional dapat dikelompokkan kepada dua kelompok utama iaitu:
1. Prosa Melayu Tradisional
2. Puisi Melayu Tradisional

Prosa Melayu Tradisional
Prosa boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk karangan yang panjang. Prosa tidak terbatas kepada cerita (naratif) sahaja tetapi termasuk juga karya-karya yang bukan cerita (bukan naratif/non-naratif). Oleh itu, karya-karya kesusasteraan Melayu yang panjang sama ada lisan atau tulisan
dikelompokkan sebagai prosa. Syarat utama ia boleh dikatakan sebagai kesusasteraan Melayu ialah penggunaan bahasa Melayu sebagai alat penyampaian dalam karya-karya tersebut merangkumi seluruh nusantara.
Prosa Melayu tradisional berbentuk lisan dikenali juga sebagai sastera rakyat. Prosa tradisional dalam kesusasteraan Melayu boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu :
1. Naratif
2. Bukan naratif
Prosa tradisional berbentuk naratif itu boleh dibahagikan pula kepada dua pecahan lagi iaitu naratif lisan dan naratif tulisan. Naratif lisan pula boleh dipecahkan lagi kepada tiga genre yang utama iaitu:
1. Mitos
2. Legenda
3. Cerita rakyat
* Cerita rakyat terangkum di dalamnya beberapa jenis cerita lagi seperti cerita binatang, cerita jenaka, cerita Lipur Lara dan cerita teladan.

Sementara itu naratif tulisan terbahagi kepada lima genre iaitu:
1. Sastera sejarah
2. Sastera hikayat
3. Sastera sastera panji
4. Sastera kepahlawanan / epik
5. Sastera agama

Prosa tradisional bukan naratif terdiri daripada empat genre iaitu :
1. Sastera undang-undang
2. Sastera kitab
3. Sastera ketatanegaraan
4. Kepustakaan ilmu tradisional
*Nota : penjelasan setiap genre prosa tradisional akan dibuat dalam tajuk penghayatan prosa tradisional.

Puisi Melayu Tradisional 
Puisi merupakan kata pinjaman dari bahasa Indonesia yang digunakan secara meluas di Malaysia. Puisi adalah satu bentuk karangan berangkap yang terikat dengan peraturan sesuatu jenis puisi itu. Bahasa puisi adalah terhad dan padat tetapi makna yang cuba disampaikan adalah mendalam. Puisi mengungkapkan sesuatu yang abstrak kepada yang nyata.

Puisi Melayu tradisional juga boleh dibahagikan kepada dua pecahan iaitu:
1. Naratif
2. Bukan naratif

Puisi Melayu tradisional yang berbentuk naratif terdiri daripada genre Syair sahaja.

Manakala yang bukan naratif ialah :
1. Pantun
2. Gurindam
3. Endoi
4. Rejang
5. Dikir/Zikir
6. Rubai
7. Nazam
8. Masnawi
9. Ghazal
10. Berzanji
11. Qit'ah
12. Seloka
13. Teromba
14. Talibun
15. Peribahasa berangkap
16. Mantera
*Nota : pengertian setiap genre akan diberikan apabila mengkaji genre tersebut.

Pengenalan Prosa

Prosa ialah tulisan yang berbeza dengan puisi dari segi kepelbagaian irama yang lebih meluas dan keserupaan yang lebih rapat dengan pola-pola pertuturan harian. Perkataan 'prosa' datangnya daripada bahasa Latin, prosa, yang membawa maksud "jelas dan mudah". Ini memerihalkan jenis tulisan yang dirangkumi oleh prosa, tanpa sebarang hiasan. Tulisan prosa biasanya digunakan untuk memerihalkan fakta atau perbincangan idea-idea. Oleh itu, ia digunakan untuk akhbar, majalah, novel, ensiklopedia, skrip filem, filem, falsafah, surat, karangan, sejarah, biografi, dan banyak lagi bentuk media.


Prosa terdiri daripada prosa tradisional dan prosa moden. Prosa Tradisional merangkumi genre sastera sejarah, sastera epik, sastera hikayat dan sastera rakyat. Prosa moden terdiri daripada genre novel, cerpen dan drama. 


Definisi Prosa Tradisional

  • semua bentuk pernyataan yang ditulis atau diucapkan tidak terikat dengan corak irama dan penyusunan bunyi yang dihasilkan oleh masyarakat lama serta mencerminkan masyarakat tersebut.